Assalamualaikum dan Selamat Menjengah ke laman blog matahati360.

Semoga dapat berkongsi ilmu, pandangan dan maklumat yang bermanafaat untuk semua. Laman ini akan membincangkan pelbagai topik yang menyentuh pelbagai isu berkaitan masyarakat. Terima kasih dan selamat berkomentar. Wasalam







Pages

Saturday, October 22, 2011

Angan yang tak sudah

Bila fikir pasal angan- angan pastinya kita teringat akan kisah Mat Jenin yang suka berangan-angan itu dan ini. Teman ni pun berangan-angan jugak nak jadi blogger. Orang kata nak jadi blogger bukan lah susah, budak sekolah pun ramai yang jadi blogger. Teman baru nak mencuba dan pasang angan-angan tu sekadar untuk berkongsi apa yang teman tahu. Tapi setelah ada blog ni barulah terasa sedikit sebanyak camana rupanya jadi blogger ni, tidaklah susah tapi kena sedikit rajin untuk 'up date posting', kena banyak jadi pencerap dan pemerhati.

Sentuh pasal angan-angan ni, semua orang pasti ada angan-angan. Ada yang berangan nak jadi orang kaya, berangan jadi orang yang berkuasa atau ternama, berangan nak jadi macam-macam malah ada jugak orang yang berangan untuk berbini lebih dari satu. Tak salah untuk berangan-angan. Angan- angan tu sesuatu yang menjelma dari hati yang kita semua itu adalah fitrah keinginan manusia.

Memang benar kadang-kadang kita tidak nafikan yang angan-angan (fantasi) kita terlalu panjang hingga melewati batas syariat, sehingga terlupa kewajipan akhirat dan agama. Itu semua bila kita terlalu kuat berangan-angan.

Angan-angan ni sebenarnya bagus juga untuk menimbulkan impian hati dan rasa dorongan dalam jiwa kita dengan kata lain ia dipanggil cita-cita, tetapi jika terlalu kerap berangan-angan tanpa usaha dan tindakan maka ia hanyalah sekadar angan-angan sahaja tidak hasilkan kenyataan atau realiti. Tapi sebenarnya angan-angan ni berbeza dengan cita-cita. Ia lebih kepada satu keinginan yang tidak kesampaian, sebaliknya cita-cita ia memungkinkan dan boleh dicapai atau dihasilkan.

Pasal angan-angan dan cita-cita ni jugak sebenarnya ia banyak bertitik tolak dalam kisah teman ni juga. Dulu teman pun pernah berangan-angan nak jadi seseorang yang berjaya tetapi ternyata ia tak jadi kenyataan sebab teman takdak usaha yang kuat dan bersungguh. Tapi itulah dikatakan kuasa takdir setelah satu keadaan yang berlaku atas diri teman ni timbul satu cita-cita untuk buktikan pada seseorang bahawa teman juga boleh berjaya. Kalau tak jadi Perdana Menteri atau ahli korporat sekalipun sekurang-kurangnya teman lebih baik dari dulu.

Teman bersyukur dan berterima kasih kepada Allah swt dan kepada kedua ibu bapa teman. Walaupun hidup dalam kemiskinan untuk membesarkan lapan orang anak tetapi ibu dan ayah teman tak pernah sesekali mengabaikan keperluan hidup untuk kami anak-anaknya. Alhamdulillah semuanya berjaya dalam bidang masing-masing dan mampu berdikari. Keperluan ilmu dan asas agama yang cukup memberikan kami pedoman untuk masa depan.

Teman masih setia ingat akan kesukaran kedua ibu dan ayah teman yang sengsara membesarkan kami berlapan. Ayah teman sekadar seorang buruh kasar yang membanting tulang empat kerat mencari nafkah. Ibu teman pula seorang suri rumah yang membuat jualan kuih untuk membantu menyara kehidupan keluarga. Kami adik beradik pula akan membantu ibu untuk menjual kuih dengan menghantarnya ke kedai-kedai kopi. Bekalan kami ke sekolah adalah kuih yang dibuat oleh ibu. Selepas sembahyang subuh dan sebelum ke sekolah kami akan mengayuh basikal menghantar kuih ke beberapa buah kedai kopi. Setelah balik dari sekolah kami akan sekali lagi ke kedai kopi untuk mengambil hasil jualan kuih. Jika baik rezeki kami dan jualan habis dapatlah duit jualan lebih sikit. Jika tak habis maka itulah makanan rezeki kami untuk petang itu.

Hari demi hari begitulah rutin kehidupan kami sekeluarga. Setelah kakak dan abang berjaya menyambung pengajian ke peringkat tinggi kehidupan makin bertambah sukar kerana ibu dan ayah terpaksa mencari wang lebih untuk tampung belanja. Tapi rezeki Allah tetap ada dan hidup diteruskan seperti biasa. Masa terus berlalu, setelah habis pengajian peringkat rendah teman pindah ke peringkat menengah. Tapi takdir Allah menentukan teman kurang berjaya dalam pelajaran kerana mungkin terlalu banyak berangan-angan semasa mengaji. Sehabis berfikir teman ambil keputusan untuk mencuba lagi dengan sendiri dengan memasang tekad di hati untuk tidak kecewa dengan angan-angan saja.

Alhamdulillah, keputusan teman memberangsangkan, teman dapat duduk dikalangan sahabat-sahabat yang cemerlang dan ditawarkan ke peringkat seterusnya. Teman berusaha sedaya uapaya untuk berjaya namun akhirnya teman tergoda dengan sedikit kealpaan untuk tambah rezeki. Teman belajar sambil bekerja sehingga mengabaikan pengajian kerana mengejar rejeki yang semakin melimpah ketika itu. Diwaktu exam pun teman masih terus bekerja, akhirnya ternyata teman gagal sekali lagi untuk cemerlang. Walaupun masih baik keputusan itu tetapi ia kurang memuaskan hati teman sendiri apatah lagi buat ibu dan ayah.

Akhirnya teman beralah memandangkan kesusahan ibu dan ayah untuk sekali lagi membiayai pengajian teman. Teman akhirnya meneruskan kerja mencari nafkah untuk meringankan sedikit beban ibu dan ayah. Kerja pertama teman buat adalah dengan bergiat dalam industri batik yang ketika itu tengah hangat dipasaran. Namun setelah mula merudum teman terpaksa bekerja pula sebagai pembantu tukang rumah. Kerja teman banyak bermain dengan simen, pasir dan batu bata. Penatnya bukan main lagi tapi gajinya cuma RM15 sehari saja ketika itu. Teman bersyukur tak terhingga atas rezeki yang halal itu.

Dalam masa yang sama teman juga buat `part time' kadang kala selaku waiter kat kenduri kawin atau kat hotel yang ada function dinner. Yang pernah teman servis dulu termasuklah masa perkahwinan penyanyi Nora dengan suaminya sekarang. Lepas buat keja tue dapatlah RM45 dan sekotak rokok Salem, kerja dari jam 9 pagi hingga 2 pagi. Walaupun penat tapi hati suka dan enjoy. Kadang-kadang dapat offer untuk cuci rumah orang pun teman sapu, janji rezeki yang halal. Sekurang-kurangnya teman dapat bantu ibu dan ayah.

Namun hati teman sangat tersentuh bila teman ingin ke Kuala Lumpur untuk mencari kerja. Teman perlukan bekalan sedikit duit untuk bekalan di sana nanti. Ibu dan ayah ada berikan sikit tapi tak cukup dan teman cuma pinjam dari kawan-kawan yang dekat tetapi ramai yang tak sudi untuk bantu dengan macam-macam alasan. Cuma ada seseorang yang sudi membantu teman dan teman ingat dia sampai bila-bila. Masa itulah kita baru tahu siapa kawan siapa sahabat.

Setelah beberapa bulan di Kuala Lumpur bekerja di sebuah syarikat penerbangan yang ternama MAS teman akhirnya rasa tidak serasi dan kembali semula ke kampung halaman. Tetapi rezeki masih murah sebaik saja balik ada tawaran kerja sebagai kerani disebuah syarikat. Teman terima tawaran tu dan bekerjalah dengan seadanya. Setelah beberapa bulan bekerja dapatlah pulak offer dari Jabatan Penerangan untuk jawatan sebagai pembantu. Teman rasa sangat syukur kerana diberikan rezeki yang tidak putus-putus. Akhirnya teman kerja dengan sesungguh hati dan bertekad untuk mencari yang terbaik dalam hidup. Terima kasih atas doa ibu dan ayah untuk kesekian kalinya.

Di tahun 1999 terasa pulak nak berpasangan hidup dan takdir mempertemukan jodoh teman dengan isteri. Usaha teman makin bersungguh, tapi tak disangka ada pulak cubaan manusia yang tak berterima kasih dengan merendahkan usaha yang teman lakukan untuk dia dan Jabatan. Teman rasa sangat terkilan dan kecewa atas sikap pegawai teman yang langsung tidak menghargai hasil usaha teman. Dua minggu teman protes sikapnya tanpa sepatah kata dan tindakan agar dia merasa bagaimana peritnya buat kerja untuk orang lain tanpa dihargai.

Akhirnya teman tekad untuk ke hadapan dan buktikan padanya rezeki ditangan Allah bukan pada makhluk. Teman teruskan perjuangan ke menara gading selama 3 tahun atas sokongan sahabat dan pegawai yang lain. Alhamdulillah rezeki telah tersurat dan sebaik habis pengajian teman diterima ke jawatan baru.

Dalam masa menjalani sebahagian kehidupan itu banyak pedoman teman dapat jadikan panduan untuk ubah sikap dan nasib diri teman. Pertamanya tentang angan-angan dan cita-cita, tentang keikhlasan hati, tentang kesabaran dan ketabahan, tentang rasa bersyukur dan berterima kasih, tentang persahabatan dan berkawan, tentang kemiskinan dan kekayaan dan banyak lagi perkara.

Apapun teman bangga dengan jasa dan bakti kedua ibu dan ayah teman yang tak pernah letih dan jemu membesarkan kami. Keikhlasan mereka mendidik menjadikan kami semua berjaya walaupun pernah berangan-angan satu ketika. Syukur kelapan lapannya sudah ada kerjaya. Anak sulung dah jadi guru, ke-2 dah jadi akauntan, ke-3 dah jadi pengurus syarikat MAS, ke-4 dah jadi `bisnessman' yang berjaya, ke-5 dah jadi usahawan, ke-6 (teman) dah jadi PRO, ke-7 dah jadi kontraktor yg berjaya dan ke-8 dah jadi arkitek langskap. Semua ini adalah berkat hasil usaha ibu dan ayah yang membesarkan kami dengan keringat yang halal dan ikhlas.

Terima kasih ibu dan ayah kerana menjadikan kami insan yang berguna walaupun bermula dengan angan yang tak sudah.

No comments:

Post a Comment