Assalamualaikum dan Selamat Menjengah ke laman blog matahati360.

Semoga dapat berkongsi ilmu, pandangan dan maklumat yang bermanafaat untuk semua. Laman ini akan membincangkan pelbagai topik yang menyentuh pelbagai isu berkaitan masyarakat. Terima kasih dan selamat berkomentar. Wasalam







Pages

Sunday, October 30, 2011

Lain Dulu Lain Sekarang

Pemikiran dan adat budaya kita sekarang memang jauh berubah tidak sama seperti dulu-dulu lagi. Dulu masyarakat kita sangat terkenal dengan adat sopan dan santunnya. Orang muda lebih menghormati orang yang lebih tua dan murid juga sangat patuh pada gurunya. Pendek kata masyarakat kita dulu-dulu memang sarat dengan nilai-nilai murni. Tetapi kini rasanya jauh sekali bezanya, masyarakat kini lebih mementingkan kata hati dan kepentingan diri sendiri tanpa kisah akan pemikiran orang lain.

Dalam menyatakan soal dulu dan sekarang ini kita dapat lihat gaya hidup masyarakat kita juga semakin berubah terutama dalam soal hiburan. Sekarang kita lihat pelbagai rancangan hiburan realiti yang muncul dan sangat diminati oleh belia remaja kita malah warga emas juga. Teman semalam teman berkesempatan tengok rancangan hiburan `VOKAL; Bukan Sekadar Rupa' di TV3. Teman percaya ramai yang minat dan suka tontonnya.

Dalam teman dok tengok tue teman terperasan la pulak akan sepasang warga emas yang bertudung dan berkopiah turut hadir untuk bagi sokongan penuh pada salah seorang VOKAL tu. Teman rasa sungguh takjub dengan semangat mereka kerana sokongan moral tu. Terdetik dihati teman akan perubahan sikap ibu bapa sekarang berbanding dengan sikap ibu bapa dulu-dulu.

Dulu jangan harapla kalau anak-anak nak berimpian untuk jadi artis samada penyanyi atau pelakon kerana ibu bapa dulu-dulu sanggup tak mengaku anak kalau anak-anak mereka terlibat dalam dunia hiburan yang dianggap maksiat itu. Tapi kini semacam dah jadi satu penerimaan dan kebanggaan pulak bagi ibu bapa untuk menggalakkan anak mereka jadi artis. Teman rasa sekarang ni ibu bapa pulak yang tolong ambil borang untuk anak-anak menyertai pertandingan atau `audition' untuk jadi penyanyi. Inilah perubahan namanya, dulu lain, sekarang lain.'

Cakap pasal sikap dan adab sopan pula, teman sangat suka sekali kalau dengar orang dulu berbicara dengan orang lain. Mereka gunakan bahasa yang berlapik dan lembut semasa bercakap. Tapi sekarang ni, adab berbahasa kita sangat jauh bezanya tambah pula dipopularkan terus menerus melalui TV dan ditonton oleh ramai orang. Apa yang teman nak katakan nie juga berkait secara langsung dengan VOKAL ni juga.

Teman terperasan tutur bahasa yang digunakan oleh salah seorang panel juri sangat kasar dan kurang bersopan. Dengan berbahasa `aku' dan 'kau' kepada peserta teman rasa bukan satu adab yang baik dan sopan. Acapkali teman dengar orang yang popular selalu suka bercakap dengan gaya yang seperti itu kebanyakkan pulak lelaki. Bukan sahaja dalam VOKAL tetapi juga dalam beberapa rancangan lain. Seorang lagi pun sama macam dia juga yang kahwin sesama artis juga.

Bagi teman ini satu budaya yang tidak harus diamalkan dalam acara yang disiarkan secara langsung itu. Kot ye pun kalau dah tabiat bercakap dengan gaya macam tu kat ruamah atau dengan kawan janganlah diamalkan semasa bersiaran secara langsung dalam TV. Buruk benar bunyinya. Bagi teman orang yang sensitif ni bila dengar gaya macam tu rasanya sangat kurang ajar bila bercakap dengan berbahasa `aku' dan `kau'.

Teman masih tak boleh terima jika ada yang berbahasa aku dan kau kalau orang tu tak kenal teman atau teman tak kenal dia. Hanya kawan rapat teman atau ahli keluarga sahaja yang boleh guna bahasa tu pada teman. Mungkin orang kata lain padang lain belalang, lain orang lain pandangan. Tapi itulah pandangan teman.

Adakah dengan status sebagai artis maka mereka rasa boleh guna apa sahaja gaya bahasa untuk berbicara dengan sesiapapun tanpa memikirkan nilai dan budaya masyarakat kita. Apala salah kalau dilembutkan sedikit bahasa tu macam Era Fazira yang gunakan `saya' dan `anda'. Teman ucapkan syabas pada Era kerana masih pertahankan nilai kesopanan dalam berbahasa dengan peserta. Adakah wajar kita menerima budaya dan adab yang tidak enak ini meresapi gaya percakapan belia remaja kita bila bercakap dengan orang yang lebih tua.


Teman percaya sikap artis itu hanyalah dikalangan artis sahaja dan bukan semua artis yang bersikap macam itu. Hanya segelintir sahaja yang merasakan merka itu popular dan ada prinsip tersendiri. Lantaklah dengan prinsip yang tak disukai itu. Jangan pulak membawa bencana moral kepada generasi kita sudah kerana sememangnya kita tahu bahawa walaupun ada artis yang memberi teladan yang molek kepada peminat seperti Wardina, Siti Nurhaliza dan lain-lain. Tetapi tidak kurang juga artis yang memberi impak songsang kepada masyarakat kita yang mengubah langskap moral generasi termasuk dalam penagihan dadah, pergaulan bebas, maksiat, zina, minum arak, clubbing dan sebagainya. Sebab itulah dulu-dulu orang tua kita sangat melarang dan benci jika anak terbabit dalam duni popular sebagai artis. Sebab mereka taknak menanggung azab kelak. Tapi itu dulu, sekarang lain.

No comments:

Post a Comment