Assalamualaikum dan Selamat Menjengah ke laman blog matahati360.

Semoga dapat berkongsi ilmu, pandangan dan maklumat yang bermanafaat untuk semua. Laman ini akan membincangkan pelbagai topik yang menyentuh pelbagai isu berkaitan masyarakat. Terima kasih dan selamat berkomentar. Wasalam







Pages

Monday, October 24, 2011

Kisah orang jual orang


"Jual orang lagi untung daripada jual unta" kata sang penjual hamba abdi dalam cerita Ali Baba Bujang Lapok arahan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee. Di ketika itu rupanya kisah orang jual orang sudah ada dipaparkan dalam drama Melayu ala Arab itu. itu buktinya kisah orang jual orang ni sebenarnya dah lama dan merupakan salah satu pekerjaan tertua.


Begitu juga kalau sesiapa masih ingat akan kisah sedih seorang hamba kulit hitam bernama Kunta Kinte dalam drama `The Roots'. Kisah Kunta Kinte sangat menyayat hati apabila dia ditangkap di negara Afrika dan dibawa ke Amerika Selatan dan dijual sebagai hamba abdi untuk bekerja diladang. Dengan keadaan dirantai dikaki dan tengkuk, dipaksa bekerja, dikurung dalam bangsal dan tidak diberi makan secukup mengambarkan layanannya tidak sebaik seekor binatang peliharaan macam kucing atau anjing. Malah lebih dari itu ada rakannya yang diseksa dan dipotong anggota badan ketika cubaan melarikan diri.


Itu sebahagian dari cerita dulu-dulu dalam sebuah drama yang mengisahkan tentang hati kering seorang manusia yang meniagakan manusia lain untuk dapat untung. Mungkin ramai yang beranggapan fenomena seperti itu sudah tidak ada lagi zaman sekarang. Tapi sedar atau tidak sebenarnya perniagaan yang tidak berperi kemanusiaan itu sebenarnya masih wujud lagi dalam era teknologi yang serba canggih ini. Walaupun sistem perniagaan jual hamba dan amalan perhambaan itu telah lama dihapuskan sejak Presiden Abraham Lincoln mengharamkannya, tetapi ia masih berlaku dikebanyakkan negara termasuk Amerika Syarikat sendiri.


Pada hari ini, bisnes jual orang masih terus berlaku tetapi dalam bentuk yang lebih terancang dan sistematik pergerakannya. Kalau dulu kaedah mencari orang untuk diniagakan adalah dengan cara memburu dan menculik mereka di penempatan pendalaman dan sebagainya, namun kini ia dilakukan dengan pelbagai cara mudah termasuk mengiklankannya di media dengan menawarkan umpan dan seterusnya memperdaya mangsa dengan menabur janji-janji manis. Malah sesetengahnya pula diculik ditepi-tepi jalan sahaja. Mereka yang terlibat dalam aktiviti bisnes ini sebenarnya adalah seorang penjenayah besar yang menjadikan ramai orang sengsara dan musnah masa depannya. Masakan tidak, tanpa rasa belas ihsan dan perasaan mereka sanggup menjual seorang lelaki, wanita, kanak-kanak serta bayi semata-mata kerana duit.


Perkara seperti ini banyak berlaku di seluruh negara termasuk Malaysia. Walaupun kes jual orang di Malaysia ini tidak seteruk seperti di Thailand, India, Vietnam dan Kemboja tetapi ia tetap menjadi tumpuan golongan penjenayah ini kerana kemakmuran dan sumber ekonomi yang teguh menjadikan Malaysia sebagai negara transit dan juga destinasi. Di Thailand, Kemboja dan Vietnam ramai lelaki dan kanak-kanak dijual dan dijadikan buruh paksa untuk bekerja sebagai nelayan tanpa dibayar gaji bertahun-tahun. Ramai yang cuba melarikan diri telah di bunuh tanpa dapat dikesan kerana mayat mereka dibuang di laut dalam. Wanita pula dijadikan pelacur di pusat-pusat hiburan, manakala terdapat lelaki dan kanak-kanak yang diculik telah dicacatkan anggota badan mereka untuk dijadikan pengemis jalanan.





Dipaksa melacur



Itu kisah yang berlaku di negara jiran kita, di negara kita pun lebih kurang sama juga kesnya tetapi ia lebih tertumpu kepada mangsa yang terdiri dari warga asing yang ada di negara ini. Secara rasminya kes seperti ini dipanggil sebagai `pemerdagangan orang'. Kebanyakkan mangsa kes pemerdagangan orang atau orang yang dijual di Malaysia ini adalah wanita yang dieksploitasi untuk seks komersial. Dengan kata lain mereka dipaksa untuk jadi pelacur tanpa kerelaan hati. Kebanyakan mereka asalnya datang ke sini bertujuan untuk bekerja sebagai pembantu rumah, pekerja kilang atau bekerja di restoran dengan dijanjikan gaji yang lumayan. Namun sebaik sampai ke destinasi mereka telah ditipu dan dipaksa untuk bekerja sebagai pelacur bagi melangsaikan hutang untuk membawa mereka ke sini. Mereka diugut, dikurung, diawasi oleh sindiket malah ada yang dibunuh ketika cubaan melarikan diri.



Kerapkali kita mendengar warga China `China Dolls', Indonesia, Vietnam, Thailand, Filiphina dan Kemboja yang menjadi mangsa diselamatkan oleh Polis dari kejahatan pemerdagangan manusia itu. Yang terbaru pula bila 21 warga Uganda berjaya diselamatkan dari sarang pelacuran setelah ditipu oleh sindiket itu dengan tawaran kerja yang lumayan.


Sebenarnya sesiapa pun boleh jadi mangsanya, terdapat juga warga tempatan yang turut menjadi mangsa seperti ini apabila ditipu dan dipaksa oleh orang yang dikenali atau dicintai untuk melakukan kerja melacur tanpa rela. Bahkan ada juga yang diculik untuk tujuan tersebut. Mereka dipaksa melayan sehingga beratus pelanggan untuk mendapat duit sebanyak mungkin. Sedangkan mangsa tidak mendapat apa-apa kecuali sengsara dan derita. Kadang kala mangsa akan dijual kepada sindiket lain pula apabila mereka telah langsai hutang atau tidak diperlukan. Di manakah hati seorang manusia yang sanggup melakukan perkara keji seperti ini kepada seseorang yang dikenalinya.


Kerapkali kita mendengar di media bahawa remaja dan wanita hilang dan tidak dapat dikesan oleh keluarga. Ini sebenarnya mungkin boleh berlaku kepada mereka juga dan ianya tidak mustahil. Dalam hal seperti ini kita perlu sentiasa berwaspada dan mengawasi pergerakan ahli keluarga kita agar mereka tidak menjadi mangsa.





Anak pun dijual beli



Itu kisah mangsa yang dipaksa melacur. Di media, kita juga sering dengar tentang cerita mengenai penjualan bayi oleh sindiket kepada pasangan suami isteri yang tidak punya zuriat. Bayangkan ada juga manusia yang sanggup jual anaknya untuk dapatkan wang. Ibu jenis apakah ini. Tapi itulah hakikatnya yang kita denga dan lihat dalam kes yang berlaku di Sarawak dan di Lembah Kelang baru-baru ini apa bila bayi berumur 6 hari hingga 9 tahun diperdagang untuk dijadikan anak angkat secara haram.


Dalam kes di Lembah Kelang, hospital swasta telah terbabit secara langsung dalam sindiket itu dengan memperdagangkan bayi yang dikandung secara luar nikah. Bayi yang tidak dikehendaki oleh ibu mereka itu akhirnya dijadikan bahan jualan yang menguntungkan dengan dijual sehingga RM30 ribu. Harga bayi adalah berbeza dan mengikut kategori. Jika bayi berbangsa Melayu kadarnya sekitar RM15 ribu -RM25 ribu, India pula RM10 ribu-RM 15 ribu, manakala Cina adalah paling mahal dijual pada harga RM 20 ribu -RM30 ribu kadangkala mengikut timbangan berat iaitu RM10 ribu sekilo.



Kebanyakkan ibu yang mengandung luar nikah tidak mahu bayikan mereka, jadi untuk menutup dosa dan noda mereka itu lebih baik dijual kepada orang apabila mendapat tawaran lumayan. Manakala pihak hospital pula akan mencari pembeli sejak dari awal dengan mendapatkan tempahan. Jenayah terancang mereka itu bermula dengan rekod mengandung dan rawatan yang dipalsukan bila mana nama ibu mengandung dalam buku rawatan mengandung itu dikosongkan. Setelah bayi dilahirkan baru buku rawatan itu diisi dengan nama ibu yang bakal membelinya. Jadi mudahlah urusan mereka untuk mendaftarkan bayi itu kelak untuk dapatkan sijil beranak.



Bagi penjenayah itu mungkin kegiatan mereka menjual bayi itu bukan satu kesalahan tetapi membantu pasangan yang tiada zuriat untuk memiliki anak. Namun adakah ini wajar, pasangan tersebut pula adakah tindakan mereka mendapat anak dengan cara begitu satu kebanggaan dan boleh membahagiakan. Tidak sedarkah mereka akan kesan buruk yang bakal terjadi pada masa hadapan sudahlah melanggar syariat dengan meletakkan Bin atau Binti anak tersebut dengan namanya lebih jauh dari itu ia sebenarnya merosakkan nasab dan keturunan yang sah dari segi hukum yang melibatkan soal nikah kawin dan faraid.


Inilah kejahatan-kejahatan manusia yang tidak berhati perut dan berhati mati, sanggup berbuat apa sahaja demi mendapatkan wang semata-mata ingin hidup mewah walaupun dengan menjual maruah, kebebasan dan kebahagiaan orang lain. Apakah kita perlu mendengar dan melihat perkara ini terus berlaku di negara Malaysia yang makmur ini.


Jenayah ini seharusnya dihentikan dan dihapuskan terus dari terus berleluasa. Bagi sesiapa yang berhati mulia dan mempunyai maklumat tentang aktiviti pemerdagangan orang ini laporlah segera kepada pihak Polis di Talian 999. Keperihatinan anda semua mampu menyelamatkan mangsa dari kesengsaraan.



No comments:

Post a Comment