Assalamualaikum dan Selamat Menjengah ke laman blog matahati360.

Semoga dapat berkongsi ilmu, pandangan dan maklumat yang bermanafaat untuk semua. Laman ini akan membincangkan pelbagai topik yang menyentuh pelbagai isu berkaitan masyarakat. Terima kasih dan selamat berkomentar. Wasalam







Pages

Tuesday, October 25, 2011

Bila boleh bersatu hati ?

Sunni Syiah Bersatu Sunni Syiah Bersatu

"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai berai: dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh musuhan (semasa jahiliyyah dulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatupadu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya" (Al Imran Ayat 103)

Dari ayat di atas betapa indahnya kalimah Allah yang menyeru hambanya supaya bersatu mengalang kekuatan dan tidak berpecah belah sehingga menjadi umat yang digeruni dan disegani oleh umat lain

Namun senario sekarang sangat berbeza, apa yang kita lihat hari ini adalah di mana mana sahaja kedudukan hati umat Islam sekarang telah berpecah belah semuanya gara-gara keinginan kuasa, kekayaan dan politik sehinggakan mata hati telah dibutakan. Di mana-mana sahaja kita lihat umat Islam saling bercakaran sesama sendiri malah saling berbunuhan. Lihat sahaja di negara Arab kini; di Libya, Algeria, Yaman, Mesir, Jordan, Syria, Somalia, Sudan, Iraq, Afghanistan, Bahrain, Iran, Pakistan dan banyak lagi.

Kalau dulu hati orang Islam pernah bersatu di bawah naungan kalimah Allah dan Rasul. Kini segalanya bagaikan pinggan kaca yang berderai terhempas jatuh ke lantai. Bagaimanalah agaknya nak cantum kembali pinggan yang pecah ini. Rapuhnya pertautan hati orang-orang kita dalam soal persatuan ummah. Ramai yang lebih rela mematikan hukum daripada mematikan adat budaya yang sonsang.

Lihat sahaja bagaimana rapuhnya tautan hati antara kita sesama umat Islam di Malaysia ini yang dapat dilihat dalam banyak perkara termasuk soal perjuangan mempertahankan akidah umat Islam yang diganggu gugat oleh agama lain. Malunya pada bangsa dan agama lain bila mana umat Islam bertelagah sesama sendiri dan berbeza pandangan dalam perjuangan itu. Sedihnya hati bila persoalan akidah umat telah dijadikan caturan politik oleh pihak tertentu. Ideologi politik semakin dijadikan kiblat sesetengah umat kita untuk berkehidupan. Semua yang akan dilakukan harus mempunyai keuntungan politik dan mendatangkan kelebihan kepada parti masing-masing.

Bukankah kita sepatutnya bersatu hati dan menolak ketepi seketika soal politik untuk bersatu hati membenteng akidah generasi kita dari dimurtadkan oleh penganut agama lain. Malangnya demi sebuah impian untuk berkuasa segolongan tertentu orang yang gilakan kekuasaan, kita sanggup beralasan faktor kedamaian beragama perlu diutamakan. Adakah ini satu alasan yang rasional dalam mana akidah umat kita terus diancam. Kita masih mampu bertenang hati menerima tusukan dan panahan yang menyesatkan. Bagaimana pula tentang hati kita, mampukan kita memendam hati menahan sakit hati akibat torehan yang dibuat penyebar agama lain itu. Itu satu perkara dan banyak lagi perkara lainnya.


Dulu kita pernah dengar kejadian sembahyang jumaat dua imam, solat berimankan orang tertentu tak sah, solat dua masjid dan banyak lagi. Rasanya perkara ini masih berlaku lagi hingga sekarang. Ini kisah benar dan ini yang dialami sendiri oleh teman setiap kali ketika balik ke Kampung di Kg Tok Sangkut, Pasir Mas Kelantan. Masa teman mula mengenali kampung tu teman jadi kaget bila nak pergi solat jumaat. Teman tengok sebahagian menghala ke hulu dan satu lagi ke hilir. Teman bertanya pada seseorang solat jumaat kat masjid mana? depa tanya balik nak sembahyang kat mana? masjid PAS ke masjid UMNO.. lor patutlah jadi dua hala rupanya ada masjid PAS dan masjid UMNO. Kariah masjid di kampung dah berpecah dua, satu di Tok Sangkut dan satu di Jejawi.

Perpecahan juga berlaku dalam soal kekeluargaan, ada dikalangan politikus yang fanatik sanggup memutuskan silaturrahim dan tali persaudaraan dengan keluarga semata-mata perbezaan ideologi politik yang dipegang. Anak dan bapa, adik beradik, sepupu sepapat dan sebagainya. Apakah nilai sebuah politik dan parti itu lebih mulia dan suci dari nilai hidup beragama dan mematuhi kehendak Islam.

Teman geleng kepala mengapa begini jadinya umat kita hari ini. Teman terfikir alangkah baiknya kalau umat kita bersatu hati dalam mengerjakan perkara baik demi kewajiban beragama. Tapi itu semua tidak berlaku disesetengah tempat. Mungkin ini hanya senario di sebuah kampung sahaja kot.

Alangkah indahnya hidup kita jika hati kita bertaut kembali untuk sama-sama berjuang dalam mempertahankan umat Islam dari dipesongkan ke pintu neraka atau sama-sama membangunkan umat Islam ke arah kehidupan yang lebih baik.

Teman tidaklah kata sapa-sapa tapi molek kiranya kalau kita semua umat Islam tidak kira apa jua bangsa tapi atas nama Islam dan kalimah Allah bersatu hati untuk berjuang mempertahankan kesucian Islam bergabung fikiran mengupayakan kedudukan ummah. Politik -politik lah juga tapi dalam soal ummah harus ada pertautan hati yang erat untuk bersatu hadapi ancaman musuh-musuh Islam yang berselindung dalam pelbagai rupa dan cara.

No comments:

Post a Comment